19 October 2008

Abdullah bidas Mahathir, cuba wujud kebencian dalam Umno - Malaysiakini

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Hrkh) - Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi membidas bekas perdana menteri Tun Dr Mahahir Mohamad dan menganggap beliau cuba menimbulkan pergolakan, kemarahan dan kebencian dalam Umno. Menurutnya, tindakan Tun Mahathir dengan berlagak seolah-olah pengarah pilihan parti yang menentukan "siapa yang perlu berada dalam parti Umno dan siapa yang perlu dikeluarkan" jelas menggambarkan cubaan untuk menimbulkan kebencian dalam Umno.

Abdullah berkata,berkata Umno tidak pernah memerlukan arahan daripada pemimpin yang tidak berada dalam parti itu.

"Siapakah Tun yang dah keluar parti Umno itu nak cuba membuat arahan kepada orang Umno apa yang patut dilakukan?

"Dia berlagak seolah-olah menjadi pengarah kepada pilihan parti, menentukan orang itu memegang jawatan itu...orang ini pula memegang jawatan ini, siapa yang perlu ada dalam parti, siapa yang perlu dikeluarkan.

Apa hak dia buat begitu?" katanya pada persidangan akhbar di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu semalam.

Abdullah mengulas kenyataan Mahathir yang mahu perwakilan Umno "mengusir orang-orang Abdullah" dalam pemilihan parti itu Mac depan. "Sebenarnya beliau mahu menimbulkan pergolakan, kemarahan dan kebencian.

Apakah salah sangat orang-orang yang bekerja dengan saya. Apakah kalau mereka itu tidak bercakap atau tidak riuh-rendah maka itu mesti dianggap sebagai orang yang tidak baik...orang yang tidak pernah membuat baik untuk Umno dan kerajaan,jelasnya yang dipetik oleh Bernama.

"Siapa dia yang membuat penentuan seperti itu. Ini akan menimbulkan kebencian sesama ahli Umno, mengajar ahli Umno bergaduh sesama sendiri," katanya.

Abdullah berkata beliau mengambil keputusan untuk tidak bertanding jawatan Presiden Umno bagi mengelakkan perbalahan sesama anggota parti.

"Oleh sebab adanya pertandingan sebagaimana yang biasa berlaku terutama di peringkat atasan berpecah belah. Kita patut belajar daripada apa berlaku dulu.

"Cakap macam ini akan menimbulkan kemarahan kepada mereka yang dianggap tidak boleh terima, mesti diketepikan. Saya menganggap apa yang Tun telah lakukan sebenarnya menimbulkan perkelahian di dalam Umno," kata Abdullah. Menurut Perdana Menteri, gesaan Mahathir itu tidak akan mendatangkan kebaikan.

"Inikah "reform" yang diharapkan...Kita ada kebebasan, tiap-tiap ahli Umno ada kebebasan untuk bertanding.

"Saya dengar kata Ali Rustam (Ketua Menteri Melaka) yang nak bertanding timbalan presiden dicuba orang tertentu memaksa dia untuk tarik balik...Mengapa suruh Ali tarik balik? Apa tak eloknya Ali?

"Tak boleh diberi saja kebebasan untuk bertanding....tentu ada orang yang mahu sokong mahupun yang tak sokong. Jadi biarlah dia bertanding dan biarlah orang Umno menentukannya," katanya.

Dalam hal ini, anggota Umno tidak perlu orang daripada luar untuk memberi arahan.

"Adalah lebih baik Tun tak cakap langsung pada hari ini," katanya.

Sementara itu, Abdullah juga kecewa apabila Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, tidak mengendahkan keputusan peralihan kuasa yang dipersetujui antara beliau dan Najib pada Mac tahun depan.

"Sebenarnya dialah (Muhyiddin) yang menimbulkan isu mempercepatkan peralihan kuasa dilakukan dengan membuat kenyataan-kenyataan di luar, di Singapura.

"Semua orang dah bersetuju. Mereka sendiri tak kata tak bersetuju. Datuk Seri Mohd Najib dengan saya dah ada persetujuan yang direstui dan dipersetujui oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi Umno," katanya.

Abdullah berkata beliau telah menerangkan sebab beliau memerlukan masa yang dipersetujui antara beliau dan Najib, antaranya, terdapat perkara berkaitan dengan reform yang beliau hendak laksanakan dan dibawa ke persidangan Dewan Rakyat.

"Apakah dia takut reform? Apakah dia tidak mahu reform? Apakah ini sebagai satu langkah untuk menggagalkan usaha-usaha sedangkan reform itu dikehendaki oleh rakyat.

"Saya dimarah oleh rakyat kerana tidak memenuhi janji. Sebab itu ada dalam manifesto 2004 apabila saya bertanding, apabila kita memenangi pilihan raya pada 2004 dengan sokongan yang kuat.

"Mengapa pula dia mencadangkan seperti itu? Ertinya nak menggagalkanlah. Nak menggagalkan saya atau menghalang saya mengambil tindakan-tindakan yang saya telah usahakan.

"Soalnya ialah sudah ada persetujuan. Dah setuju. Mengapa mengungkit lagi? Tak sabar agaknya nak jadi Timbalan Presiden. Itupun kalau ada cukup orang nanti nak menyokong dia," katanya

2 comments:

Anonymous said...

sudah terlambat Pak Lah .. jikalau ingin berjihad bermula dengan niat ayng ikhlas dan jujur ...

sekarang Allah swt tunjuk Keadilannya ....

mati nanti jawab lah sendiri ...

Anonymous said...

Awal awal orang dah nasihat kan Pak Lah tapi konon nak tunjuk baik. Orang yang awak lantik tu semua nya tak kenang budi. Berpura pura. Kalau lah UMNO jadi agenda mereka maka sudah pasti lah mereka mempertahankan Pak Lah tapi lihat apa yang berlaku.
Nah apa lagi Pak Lah, masih ada masa lagi ajar mereka tu. Mudin tu bukan pun pandai, cakap orang putih pun baru belajar. Awak punya tainted deputy tu pun tak leh harap. Lawan Pak Lah Lawan.terus lah jadi PM atau serahkan aje pada Pakatan Rakyat.

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese