26 September 2008

ZIARAH KUBUR PADA HARI RAYA.

Soalan:“ Ramai dari kalangan orang Islam menitik berat tentang ziarah kubur selepas menunaikan sembahyang hari raya, adakah disyariatkan ziarah seperti ini?”
Jawapan Syeikh Athiyyah Saqr (Mantan Ketua Majlis Fatwa Al-Azhar)
Hukum asal bagi ziarah kubur adalah sunnat, kerana ia boleh mengingatkan seseorang tentang hari akhirat.

Di sebut di dalam hadis Nabi S.A.W sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abu Hurairah R.A dia berkata:“Nabi S.A.W menziarahi kubur ibunya lalu dia menangis dan orang yang disampingnya juga menangis, kemudian dia bersabda:
( استأذنت ربي في أن أستغفرلها فلم يؤذن لي، واستأذنته في أن أزور قبرها فأذن لي، فزوروا القبور فانها تذكر الموت )
Maksudnya:“Aku meminta izin dari Tuhanku untuk aku beristighfar baginya (bagi ibuku), maka Dia tidak memberi keizinan kepadaku, dan aku meminta izin untuk menziarahi kuburnya maka Dia (Allah) membenarkanku, maka ziarahilah kubur kerana ia boleh mengingatkan kepada kematian”.

Ibnu Majah meriwayatkan dengan sanad yang sahih sabda Nabi S.A.W:
( كنت نهيتكم عن زيارة القبور، فزوروا القبور فانها تزهد في الدنيا وتذكر الأخرة )
Maksudnya:“Adalah aku dahulunya menghalang kamu dari menziarahi kubur, maka (sekarang) ziarahilah kubur, kerana ia boleh menjadikan kamu zuhud terhadap dunia dan mengingati akhirat”.

Ziarah kubur tidak mempunyai waktu yang tertentu.
Sebahagian ulama’ menyatakan bahawa pahalanya lebih besar pada hari-hari yang tertentu seperti hari Khamis dan Jumaat, kerana kuatnya hubungan di antara roh-roh dengan si mati. Pendapat ini tidak mempunyai dalil yang kuat.

Dengan ini kita dapat simpulkan bahawa menziarahi kubur selepas dari sembahyang hari raya, jika ia bertujuan untuk mengambil peringatan dan mengingati mereka yang telah mati yang dahulunya bersama-sama mereka berseronok di hari raya, serta memohon rahmat dari Allah S.W.T untuk mereka dengan berdoa, ini semua tidak mengapa dilakukan oleh orang lelaki.

Adapun bagi perempuan, hukum mereka menziarahi kubur telah dibincangkan pada jilid pertama, ms:588 dari kita fatwa ini. [Di dalam perbincangan tersebut, pendapat yang dipilih oleh sheikh ialah hukumnya makruh jika dibimbangi akan berlakunya perkara yang haram seperti meratap dan lain-lain, jika perkara haram tersebut tidak dapat dielakkan maka hukumnya adalah haram –ringkasan dari fatwa tersebut oleh penterjemah]

Adapun jika menziarahi kubur selepas solat hari raya untuk memperbaharui kesedihan dan untuk menerima takziah di atas kubur, atau dengan mendirikan bangsal dan menyediakan tempat untuk menerima takziah, maka ia ditegah.

Ini kerana takziah selepas dari mayat dikebumikan lebih dari tiga hari adalah dilarang, samada larangan dalam bentuk haram atau makruh. Juga kerana hari tersebut adalah hari raya, hari bergembira dan berseronok yang sepatutnya tidah ditimbulkan perasaan sedih padanya.[Ahsanul Kalam Fil-Fatawa Wal-Ahkam, Sheikh ‘Athiyyah Saqr, Jilid: 6, MS: 646-647]

Dupahang’s Weblog

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese