Nik Abdul Aziz Nik Mat
.
BELUM pernah saya melihat suasana politik negara yang segawat ini. Pelan peralihan kuasa yang ditetapkan oleh Perdana Menteri dan pernah dipersetujui oleh timbalan dan naib-naib presiden tidak dipersetujui pula oleh salah seorang Naib Presidennya.
.
Akhir-akhir ini, pendirian Tan Sri Muhyiddin Yassin mula kelihatan disokong oleh Najib supaya tarikh peralihan kuasa ditentukan perwakilan.
.
2) Sedang Pak Lah melahirkan kekecewaan, Muhyiddin sering dikaitkan pula dengan Ku Li dalam penyediaan pelan alternatif demi memulihkan Umno atau menggantikan Presiden Parti.
.
Sementara itu, Pak Lah dikejutkan pula dengan hajat terbaru Tun Dr Mahathir Mohamad untuk kembali semula ke pangkuan Umno.
.
Dalam keadaan Datuk Ahmad Ismail yang dilihat menyentuh perkara sensitif mengenai kaum, tiba-tiba tak semena-mena wartawan daripada Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok merangkap Exco Kerajaan Negeri Selangor ditahan di bawah ISA.
.
Selepas 24 jam dalam tahanan, Tan Hoon Cheng telah dilepaskan pula kerana mengikut Syed Hamid Albar, polis menahan beliau di bawah ISA kerana terdapat 'ancaman terhadap nyawa'(?)
.
Bukankah semua ini pelik namanya. Dalam keadaan kegawatan yang bertimpa-timpa, Datuk Zaid Ibrahim pula meletakkan jawatan.
.
Zaid meletak jawatan tetapi PM tidak mahu terima. Tanpa mengambil banyak masa, walaupun ditawar cuti dua minggu, Zaid tetap menolak dan mengisytiharkan peletakan jawatan beliau kerana tidak puas hati dengan penyalahgunaan ISA oleh kerajaan keesokan harinya.
.
Semakin menarik apabila semua akhbar 18 September memberitakan bahawa Zaid menyertai gerakan caucus yang dianggotai Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Khalid Ibrahim dan lain-lain untuk menentang ISA.
.
3) Di tengah-tengah keghairahan ugutan ISA yang seakan-akan memanjangkan tangannya ke batang tengkok Dato� Seri Anwar Ibrahim, Majlis Peguam yang disertai oleh 12,000 peguam telah membuat EGM Khas pada 20 September 2008; membantah keras ISA bahkan mendesak membatalkan Akta yang zalim ini.
.
Pada tahun 1998, Umno cuba memerangkap Anwar dengan tuduhan liwat. Walau terpaksa memunggah bantal dan tilam sambil mengutip rambut dan bulu untuk menegakkan pembuktian, Anwar telah ditumbuk dan ditendang ke lokap dan dipaksa menjalani enam tahun hukuman.
.
Anehnya, di hujung pertimbangan Anwar didapati tidak bersalah oleh Mahkamah. Tidak serik dengan pengalaman pahit ini, Umno sekali lagi dilihat cuba mengitar semula tuduhan liwat dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh.
.
Belum didapati bersalahpun sekali lagi Anwar telah terpaksa melalui lorong ejekan untuk dicerca oleh media.
.
Ini yang saya katakan, keadaan negara yang sedang berada dalam sebuah krisis kepercayaan yang tenat. Hati saya sentiasa bertanya sama ada; politikkah ini atau kecelaruan?
.
Dalam kes tuduhan liwat ini, boleh dikatakan semua ahli ilmu yang ikhlas kerana Allah telah menegur kerajaan yang suka menuduh tanpa mengikut sistem pembuktian yang telah dilandaskan oleh Kitab Allah S.W.T.
.
Semua peraturan ini berada di dalam Hududullah. Adalah menjadi kewajipan bagi mana-mana pemerintah yang taklif yakni dibebankan dengan hukum untuk menanggung dan melaksanakan ketentuan Allah S.W.T.
.
Perintah Allah ini telah wujud sebelum wujudnya Umno dan sebelum wujudnya PAS.
.
No comments:
Post a Comment