29 September 2008

Majoriti Melayu Muslim (3M) - Khalid Abd Samad

PAS menetapkan syarat Majoriti Melayu Muslim (3M) sebelum PAS akan bersama kerajaan PR diperingkat pusat. Itu merupakan syarat yang agak sukar memandangkan kebanyakan kerusi Melayu dipegang oleh UMNO dan sudah pasti UMNO akan ugut atau sogok MP-MP mereka supaya mereka tidak bersama Pakatan Rakyat.

Saya tidak mahu mempertikaikan keputusan yang dibuat tetapi saya tidak boleh elak dari memikirkan peristiwa perjanjian Hudaibiyyah. Sekiranya syarat-syarat yang menguntungkan dan menjamin kedudukan umat Islam sahaja yang boleh diterima, maka sudah pasti ianya tidak akan ditanda-tangani. Malahan, syarat-syarat Hudaibiyyah bukan sekadar berat sebelah, Rasulullah (SAW) terpaksa membenarkan kalimah ‘Ar-Rahman’ dan ‘Ar-Rahim’ serta istilah ‘Rasulullah’ digugurkan untuk memenuhi kehendak wakil kaum Quraisy. Namun Hudaibiyyah diistiharkan sebagai kemenangan besar oleh Allah dan setelah beberapa tahun membawa kepada Fathul Mekah.

Kadangkala kita kena lihat pada potensi sesuatu keadaan dan dengan mengambil kira potensi itu, perlu berani dan yakin terhadap pertolongan Allah untuk maju kehadapan. Dengan itu, apa yang dilihat sebagai satu kerugian boleh berubah menjadi kejayaan. Perjuangan semestinya memerlukan pimpinan mengambil risiko yang dipertimbangkan terdahulu atau “calculated risk”. Perjuangan yang tidak sanggup mengambil risiko tidak akan maju dan tidak akan kemana-mana. Pemimpin yang tidak berani mengambil risiko tidak akan mampu mencapai kejayaan yang cemerlang.

Oleh yg demikian jika dikaji secara objektif, apakah risiko yang akan terpaksa kita hadapi sekiranya majoriti MP PR adalah bukan Islam? Pada pandangan saya amat minima sekali. Pertama, Islam dan kedudukan Melayu dilindungi Perlembagaan. Tuntutan Perlembagaan akan pasti dipertahankan oleh semua institusi termasuk Yang di-Pertuan Agong. Kedua, sekiranya bermasalah dan terancam, PAS boleh keluar dari PR pada bila-bila masa dan pada ketika itu kerajaan PR akan terbubar dengan sendirinya.

Berbanding dengan risiko yang minima ini, potensi kebaikan sebaliknya begitu menggunung sekiranya PR mengambil alih diperingkat pusat. Namun, potensi ini akan hanya tercapai sekiranya diusahakan. Ia tidak datang bergolek dan oleh itu mesti ada kesungguhan dan keyakinan terhadap kemampuan Islam untuk menawan hati semua yang melihat. Kalau kita tak yakin dgn potensi yg ada, lagi mudah melepaskan sahaja peluang ini tanpa mengambil apa-apa risiko.

Saya melihat ini sebagai sebahagian dari pengajaran dari peristiwa perjanjian Hudaibiyyah. Untuk mengeluarkan umat Islam dari satu keadaan persengketaan dan peperangan yang berpanjangan yang menyekat usaha dakwah dan usaha memantapkan kedudukan Islam di Madinah, maka perjanjian berat sebelah itu ditanda-tangani jua oleh Rasulullah (SAW). Kekalahan zahir diubah menjadi kemenangan yang mutlak hasil usaha yang bersungguh-sungguh dan keyakinan terhadap pertolongan Allah.

Mungkin masalah kita sekarang ialah kita tidak lihat perlunya rakyat Malaysia keluar dari bawah pemerintahan UMNO/BN. Pemerintahan zalim ini yang ditolak oleh rakyat kita anggap lebih baik dari PR semata-mata kerana bilangan ahli MPnya bukan terdiri dari majoriti Melayu Muslim. Maka amatlah malang sekiranya kita terpaksa melihat pada akhirnya kerajaan yang zalim dan korup gagal ditumbangkan kerana PAS!

WaLlahu ‘Alam

2 comments:

Anonymous said...

YB Khalid - takkan lah kamu tak boleh baca tujuan syarat itu di parletakkan oleh PAS keatas PR. Walau pun kebanyakkan ahli PAS akan bersetuju dengan hujah hujah kamu, kita semua tahu bahawa "Syarat PAS" itu tidak lain dan tidak bukan hanyalah bertujuan untuk menggagalkan usaha usaha Parti Keadilan dan khusus nya Anwar Ibrahim untuk mendapat peralihan kuasa di peringkat Parliament.Tengok sahaja lah retorika hujah hujah yang dikemukakan oleh perwakilan PAS Terengganu di Muktamar yang lepas. Puak puak ini percaya bahawa mereka akan dapat negotiate kedudukan yang ampuh dari UMNO yang tersepit jika mereka dapat bawa PAS bersama dengan UMNO dengan kononnya mempertahankan ISlam. Yang menghairankan ialah sejak bila yang orang orang UMNO ini kisah sangat dengan Islam ?masa pilihanraya adalah. Jadi nampak sangat lah puak puak PAS yang sudah terhidu kedudukan dan pangkat yang telah di janjikan oleh umno dan Pak lah yang tersepit itu menggunakan retorika syarat Islam sebagai strategi nya untuk menghalalkan bersama dengan Parti zalim UMNO itu - semata mata kerana pangkat dan semangat kemelayuan. ISLAM hanya digunakan sebagai lambang penghalal. Maka tidak hairan lah yang kita semua saksikan bahawa PAS Terengganu di benarkan Allah SWT memerintah Terrengganu hanya untuk satu penggal dan Allah tidak melakukan sesuatu dengan sia sia dan Allah lebih mengetahui apa yang terletak dalam hati hamba hamba Nya.

Anonymous said...

YB...syabas saya setuju 100% catatan YB. Kalau PAS sedar masih ada beberapa ketelanjuran yg dibuat didalam mengukuhkan hubungan PR ia masih belum terlambat utk membetulkannya. Media Harakah kena belajar dengan Utusan Malaysia..dari segi usahanya mengukuhkan pampinanBN cuma bezanya Harakah sebar/besarkan berita2(sudah tentu yang benar/sahih sahaja) positif PR. Yang negatif tu ditahan siarannya dulu. Kalau masih tak faham juga...tukar saja pengarang harakah ganti dgn yang baru yang lebih faham wawasan PR.
..YB Khalid tentu sokong saya 100%.

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese