Pada pagi menjelmanya hari raya, dengan baju baru yang segak, kanak-kanak sanggup berjalan kaki atau naik gerek buruk bersama kawan-kawan menziarahi setiap buah rumah jiran. Mereka sanggup membeli dompet baru kerana harapannya untuk diisikan dengan duit raya. Kadang-kadang mereka pergi beraya sekadar memberi salam dan menunggu duit raya sahaja – naik ke rumah pun tidak mahu kerana niatnya hanya untuk mendapat duit raya saja. Bila terkenang bagaimana seronoknya apabila berhari raya di rumah jiran dan mendapat duit raya seringgit, terasa seolah-olah jiran yang baik itu segala-galanya. Tetapi ada juga kadang-kadang kita mendatangi rumah Pak Aji yang kaya, tetapi kedekut. Hartanya banyak, tapi duit rayanya hanya sekupang! Memang dasar Haji Bakhil!
Bila dewasa, kita menyedari bahawa Eidil Fitri ini bukan untuk ‘mengutip’ duit raya, tetapi sebagai hari kemenangan setelah sebulan berperang dengan nafsu. Sepanjang Ramadhan kita diajar supaya selain rajin beribadat, ringan juga tangan untuk bersedekah. Membersihkan harta dengan cara berzakat, bersedekah, menderma, wakaf, hibah, infak dan sebagainya. Kerana itu pada bulan Ramadhan ini dengan rahmat Allah kita lihat orang ramai berlumba-lumba bersedekah kerana mengambil fadhilat daripada keberkatan Ramadhan. Sebagai tanda kita bersyukur di atas kejayaan kita sepanjang Ramadhan, semasa berhari raya kita bersedekah kepada kanak-kanak barang seringgit dua supaya kegembiraan ini diraikan dengan hilai tawa mereka.
Tetapi menjelang hari raya pada tahun ini, lain pula jadinya. Beban hidup rakyat memang cukup terasa apabila kerajaan menaikkan harga minyak sehingga 41 peratus. Jika dulu petrol RM10 itu kita boleh memandu untuk lebih 100 km, hari ini RM10 hanya boleh membeli sekadar empat liter petrol. Bukan itu sahaja, harga makanan sudah naik dengan mendadak sehingga roti canai pun berharga 80 sen hingga RM 1 sekeping itupun rotinya semakin kecil ataupun nipis. Bekalan gula, minyak masak, gandum dan beras yang sering terputus menyebabkan krisis makanan berlaku dan rakyat terpaksa menerima hakikat kenaikan harga barang-barang makanan yang begitu tinggi. Terbaru, kadar inflasi sudah mencecah 8.5 peratus, satu kadar yang tertinggi semenjak 27 tahun dahulu. Ketika ekonomi gawat pada 1980-an dan krisis ekonomi 1997 pun, inflasi tidak seteruk ini. Baca Lagi..
No comments:
Post a Comment