11 December 2009

Menantu Nik Aziz persoal motif Mahfuz buat desakan

KOTA BARU — “Kenapa sekarang baru mahu bersuara? Kenapa semasa ayahanda, termasuk saya sendiri diasak, dikecam dulu beliau hanya membisu.”

Demikian reaksi Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Abdul Ariffahmi Abdul Rahman berhubung kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar yang mendesak agar beliau segera meletakkan jawatannya itu bagi meredakan konflik sedang berkisar dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Malah Ariffahmi menegaskan beliau masih berpegang pada pendirian sebelum ini bahawa hanya akan meninggalkan PMBK akhir Mac depan.

Semasa dihubungi The Malaysian Insider, Ariffahmi yang juga menantu kepada Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan sebagai seorang pemimpin atasan Mahfuz sepatutnya terlebih dahulu memikirkan kesan akibat kenyataannya.

“Persepsi dari impak yang timbul tidak mustahil boleh mengundang padah,” kata beliau yang masih tidak faham apa motif sebenar Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena itu membuat kenyataan sedemikian.

Ariffahmi dan Nik Aziz menjadi sasaran serangan politik sejak awal November lalu.

Beliau telah memutuskan untuk akur kehendak Nik Aziz, yang melantik beliau dulu, agar melepaskan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif PMBK.

Awal minggu lalu Ariffahmi mengumumkan bahawa berdasarkan terma kontrak perkhidmatannya beliau hanya akan meninggalkan

PMBK pada Mac depan dengan memberi notis tiga bulan berkuat kuasa Dis 24 ini.

Sehubungan itu, pada Isnin lalu Mahfuz meminta Nik Aziz selaku Penasihat PMBK supaya berbincang dengan ahli Lembaga Penasihat perbadanan itu supaya perkhidmatan Ariffahmi ditamatkan segera.

Pendirian Mahfuz itu juga dipertikaikan oleh Nik Aziz.

Tanpa merujuk kepada mana-mana pemimpin, Ariffahmi melahirkan rasa kesal apabila sesuatu kenyataan diutarakan tidak berasaskan sumber yang jelas.

Ariffahmi menambah beliau juga telah cuba menghubungi Mahfuz melalui panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi mendapatkan penjelasan berhubung kenyataannya, namun tiada sebarang maklum balas.

“Saya tidak tahu kenapa beliau tidak jawab panggilan dan SMS saya,” katanya.

Seorang lagi Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata kedudukan Ariffahmi sekarang tidak harus diperdebatkan oleh orang luar memandangkan ia melibatkan hal ehwal kerajaan Kelantan. - Mohd Zuharman

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese