01 March 2009

Gaji: Siapa Yang Berhak, Nizar atau Zambry?



Jawatankuasa Kira-Kira Wang Perak (PAC) akan melakukan siasatan untuk menentukan samada dan elaun-elaun berkaitan sepatutnya dibayar kepada menteri besar dan exco dari Barisan nasional atau dari Pakatan Rakyat.

Selain Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, PAC turut memanggil barisan exco mereka untuk memberi keterangan pada mesyuarat khas yang akan diadakan pada pukul 4 petang, 5 Mac ini.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, PAC boleh mengeluarkan arahan untuk waran tangkap terhadap individu yang enggan hadir.

"PAC yang mengadakan mesyuarat di Bilik Mesyuarat Kewangan negeri, di sini semalam memutuskan terdapat dua perkara sepanjang krisis kerajaan negeri yang perlu ditangani segera iaitu berkaitan pelantikan tiga penasihat Menteri Besar baru dan Ketua Penerangan kerajaan negeri," katanya pada sidang akhbar di pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri Perak di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Canning itu berkata, PAC mempersoal pelantikan Datuk Chang Ko Youn sebagai Penasihat Hal Ehwal Masyarakat Cina, Datuk S Veerasingam (Penasihat Hal Ehwal Masyarakat India) dan Datuk Najmuddin Elias AlHafiz sebagai Penasihat Hal Ehwal Agama serta pelantikan Datuk Hamdi Abu Bakar sebagai Ketua Penerangan Kerajaan Perak.

Beliau berkata, pelantikan itu dianggap luar biasa dan membabitkan penggunaan sejumlah wang yang besar kerana ia memerlukan pembayaran gaji atau elaun tertentu yang sememangnya menggunakan wang kerajaan negeri.

"Oleh itu, timbul persoalan yang memerlukan penjelasan daripada pihak berkenaan iaitu apakah dasar undangundang yang diguna dalam pelantikan itu, rasional dan tujuan pelantikan serta emolumen yang dibayar termasuk gaji, elaun dan kemudahan lain yang disediakan," katanya.

Wong yang juga Setiausaha Publisiti DAP Perak berkata, PAC turut mempersoal manfaat daripada pelantikan itu kerana dua daripada mereka iaitu Chang dan Veerasingam bukan Adun, manakala kelayakan dua wakil rakyat iaitu Mohd Najmuddin dan Hamdi sebagai anggota pentadbiran negeri adalah diragui.

"PAC juga akan menuntut penjelasan berhubung kedudukan Zambry dan Mohammad Nizar sebagai menteri besar serta barisan exco masing-masing pada mesyuarat khas itu," katanya.

Beliau berkata, dalam keadaan krisis politik sekarang PAC perlu mengambil berat dan memastikan barisan exco mana harus dibayar gaji dan elaun serta kemudahan lain seperti yang diperuntukkan undang-undang.

Wong berkata, jika keadaan memerlukan, PAC juga akan memanggil Penasihat Undang-Undang negeri, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Dr Abdul Rahman Hashim bagi memberi penjelasan mengenai perkara yang sama.

"Notis pemberitahuan berhubung mesyuarat itu akan dikeluarkan Setiausaha PAC yang juga bertindak sebagai Setiausaha Dewan Undangan Negeri, Abdullah Antong Sabri," katanya.

Wong berkata PAC akan mengemukakan cadangan kepada jabatan kewangan negeri dan dwan undangan negeri.

“Mereka mempunyai tanggungjawab melaksanakan cadangan yang kami berikan nanti,” tambahnya.

PAC dianggotai oleh tujuh orang ahli, lima orang dari Pakatan Rakyat dan dua dari Barisan Nasional.

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese