16 September 2010

Kes Bunuh Sosilawati: Tulang mangsa ditemui



Unit forensik polis hari ini menemui lagi sejumlah serpihan tulang diper.cayai milik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki lain yang dilaporkan hilang lebih dua minggu lalu dalam operasi mencari bahan bukti di Sungai Panchau, Tanjung Sepat dekat sini hari ini.

Dalam operasi yang bermula pukul 3.30 petang dan berakhir dua jam kemudian, pasukan tersebut dilihat membawa keluar beberapa bungkusan dan salah satu daripadanya dipercayai mengandungi tulang-tulang mangsa.

Namun, para petugas media tidak dibenarkan menghampiri kawasan tersebut kecuali hanya boleh berada 100 meter dari situ.

Malah bagi mengelak kerja-kerja operasi dirakamkan, kawasan yang menjadi tempat bahan bukti dicari turut ditutup dengan kanvas.

Pengarah Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Abdul Malek Harun turut dilihat berada di lokasi tersebut bagi memantau sendiri operasi mencari bahan bukti untuk membantu siasatan.

Sebelum ini, unit forensik mengumpul sejumlah tulang dan barangan mangsa yang juga ditemui di sungai yang sama pada 12 September lalu.

Sosilawati dan tiga yang lain dikatakan telah mengadakan pertemuan dengan suspek bagi urusan pembelian ladang seluas 1.6 hektar milik suspek seorang peguam bergelar Datuk sebelum berita kehilangannya dilaporkan.

Kes Sosilawati: Suspek utama ada 7 aduan jenayah komersial



makkal osai 150910

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata, suspek utama siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya turut mempunyai kaitan dengan kes orang hilang, pembunuhan dan jenayah komersil di daerah Kuala Langat.

Beliau berkata suspek utama itu yang juga seorang peguam turut disiasat berkaitan kes kehilangan seorang lelaki warga India di sini yang didakwa hilang sejak awal tahun ini. Bagaimanapun, Khalid berkata laporan polis mengenai ahli perniagaan warga India itu baru dibuat pada 8 September lalu. "Jadi macam mana kita tahu jika tidak ada laporan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Polis Bersama Masyarakat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat yang dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Timbalannya, Datuk Hussin Ismail, di sini hari ini.

Khalid berkata, peguam tersebut juga didapati mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan seorang wanita di Banting tahun lalu.

Laporan akhbar menyatakan bahawa wanita itu T Selvi, 44 isteri kepada seorang pemilik bengkel kenderaaan dipercayai dibunuh kerana perselisihan faham mengenai urus niaga pinjaman wang yang melibatkan peguam itu.

"Walaupun suami mangsa ada membuat pelbagai ulasan mengenai kes itu, saya tidak bercadang beri apa-apa komen kerana kes itu sedang disiasat," kata Khalid.

Beliau berkata, polis mendapat petunjuk-petunjuk baru mengenai kes pembunuhan wanita itu selepas siasatan dijalankan ke atas pembunuhan Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44; peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan pegawai CIMB Bank cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohamad, 38.

"Kes ini tidak pernah ditutup dan kita akan lakukan risikan bagi mendapatkan lagi maklumat," kata Khalid.

Beliau berkata, pihaknya ada menerima tujuh laporan jenayah komersial terhadap peguam itu antaranya kes pecah amanah dan penipuan jual beli tanah sejak tahun 2005 yang membabitkan kerugian RM7.1 juta. Ditanya sama ada peguam itu "membeli" polis-polis di Kuala Langat, katanya jika sesiapa mempunyai maklumat sedemikian mereka boleh melaporkan terus kepada beliau, Bukit Aman mahupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kita tidak akan lindungi orang kita yang menyeleweng," tegas Khalid.-Bernama

Perutusan Hari Malaysia Presiden PAS

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat dalam negara kita bersempena dengan penubuhan sebuah negara yang dinamakan Malaysia pada 16 September 1963 yang lalu.

Sebagaimana yang telah saya nyatakan sebelum ini dalam ucapan saya di Muktamar Agung PAS yang lalu, saya menghuraikan bahawa kita adalah kelompok manusia yang sangat bertuah dan unik, kerana berada dalam negara Malaysia yang mengandungi kepelberbagai etnik, yang berasal dari berbagai bangsa dan datang daripada berbagai negara. Ini pula ditambah dengan kemeriahan etnik yang wujud di Sabah dan Sarawak sejak sekian lama.

Kerencaman ini sekiranya diolah dengan baik akan menjadikan negara kita ini sebagai satu kuasa yang hebat, sebaliknya sebarang kesilapan akan membawa padah yang besar. Inilah yang kita lihat setelah 47 tahun negara Malaysia diwujudkan, dengan kelemahan pimpinan UMNO-BN yang sepatutnya sudah membawa negara tercinta ini berdiri teguh dan mampu untuk menjadi pelindung kepada rakyat.

Asas yang perlu dipertahankan ialah kesemua etnik yang membina negara Malaysia ini perlu dilayan dengan adil dan saksama, kerana Islam menekankan bahawa kecenderungan untuk memperlekehkan orang lain adalah sifat buruk yang mesti dijauhi.

Menceroboh dan menghalang hak seseorang adalah amat bercanggah dengan prinsip keadilan Islam manakala sikap berlaku adil pula adalah merupakan ciri taqwa orang yang beriman. Adalah sesuatu yang janggal apabila seseorang itu mengaku bertaqwa kepada Allah tetapi gagal melaksanakan keadilan yang sebenar.

PAS bukan sahaja akan mempertahankan hubungan baik pelbagai kaum ini dengan berasaskan sikap Islam sebenar yang dinyatakan oleh Al Quran dan ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, bahkan PAS komited untuk menjadikan kewujudan pelbagai etnik ini sebagai rempah yang boleh memperkasakan negara Malaysia itu sendiri.

Allah SWT menyeru agar hubungan seumpama ini sentiasa dibentuk sebagaimana firman Nya dalam Surah al Hujuraat ayat 13 yang bermaksud:

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”

Selamat Hari Malaysia untuk semua rakyat Malaysia.


Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden PAS

16 September 2010 | 7 Syawal 1431 Hijriah

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese